Makanan Jepun beracun

24 Mac 2011

TOKYO - Krisis nuklear di Jepun semakin meruncing apabila pencemaran radiasi yang melebihi tahap berbahaya ditemui dalam 11 jenis sayur-sayuran yang ditanam berhampiran loji nuklear, semalam.
Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan mengarahkan penduduk tidak memakan sayuran tercemar itu termasuk brokoli, bayam dan kobis.
Kesan radiasi melebihi tahap selamat turut ditemui dalam susu yang dihasilkan berhampiran loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak dalam bencana gempa dan tsunami, 11 Mac lalu.
Kan turut menghalang susu dan sayuran dari wilayah Ibaraki yang terletak berhampiran dengan Fukushima daripada dieksport ke luar negara kerana khuatir dengan tahap keselamatan makanan itu.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) menjadi negara pertama yang menghentikan import susu dan daging mentah yang dihasilkan berhampiran kawasan loji nuklear Jepun.
Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), kesemua produk makanan dan susu dari Fukushima, Ibaraki, Tochigi dan Gunma akan dihalang daripada memasuki AS.
Jepun berhadapan dengan krisis pencemaran radiasi selepas gempa sekuta 9.0 pada skala Richter memusnahkan loji nuklear negara itu, 11 Mac lalu sehingga membebaskan bahan radioaktif.
Lebih 400 jurutera, tentera, polis dan bomba berusaha mengawal keadaan di loji itu sejak minggu lalu bagi mengelak situasi bertambah buruk.

0 comments: